Rais Yatim | Tiada Larangan Watak Gay Di TV Kerajaan

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata, tidak wujud larangan berhubung watak yang digambarkan sebagai lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dalam saluran-saluran televisyen milik kerajaan.

“Tidak ada larangan atas mana-mana persembahan seni oleh mana-mana segmen masyarakat termasuk yang disifatkan sebagai lelaki “lembut” (atau kewanita-wanitaan),” katanya dalam Twitter.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan “masih berhak untuk memilih kandungan yang sesuai untuk orang awam memandangkan Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum, pelbagai agama dan pelbagai budaya”.

Menteri itu memberi penjelasan berhubung laporan satu berita portal berhubung perkara itu, yang berasal dari satu entri Facebook oleh Jabatan Penerangan.

Sementara itu ketika ditemui pemberita pada Program Sentuhan Rakyat 1Malaysia, Parlimen Jasin di Dewan Almanda di Jasin, Melaka hari ini, Rais berkata, seseorang lelaki yang dianggap “lembut” fizikalnya berhak di sisi undang-undang memainkan peranan menerusi hiburan atau pementasan.

Beliau berkata mengikut Perkara 8, Perlembagaan negara, semua pihak mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang dan tidak boleh ketepikan hak mereka.

“Jadi di atas prinsip itu, semua pihak berhak berhiburan, mementaskan sesuatu atau menonjolkan kebolehan kepakarannya dan tidak boleh disisihkan kecuali seseorang itu melakukan jenayah,” katanya.

Mengenai program sentuhan rakyat itu, beliau berkata ianya akan terus diperhebatkan dan Melaka dipilih sebagai salah satu negeri untuk menerajui program itu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close