Polis Minta Orang Ramai Salur Maklumat Kesan Banduan Lari Makhamah

Orang ramai digesa bekerjasama dengan polis bagi menjejaki seorang lelaki yang melarikan diri dari lokap Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada Jumaat lalu, kerana tertuduh adalah tahanan berbahaya kepada keselamatan dan ketenteraman orang awam.

Tertuduh, merupakan ketua kumpulan Man Kuchai yang aktif melakukan rompakan dengan menggunakan modus operandi melanggar belakang kereta mangsa, termasuk merompak kedai-kedai beroperasi 24 jam di sekitar daerah Brickfields.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, gambar tertuduh, Mohd Rezuan Abdul Rahman, 32, yang lebih dikenali sebagai Man Kuchai atau Man Che Indon disiarkan di laman facebook Polis KL, termasuk media cetak dan elektronik bagi memudahkan orang ramai membuat pengecaman.

Beliau berkata, orang ramai yang mengenali tertuduh atau ada maklumat berhubung lelaki yang pernah dua kali melarikan diri daripada tahanan polis itu, diminta tampil segera ke balai polis terdekat atau menghubungi talian Rakan Cop; 03-2115999 bagi membantu siasatan.

“Kita ingatkan orang ramai yang mungkin melihat kelibat tertuduh agar tidak bertindak sendiri, sebaliknya maklumkan kepada polis terlebih dahulu.

“Orang ramai atau ahli keluarga tertuduh juga diminta agar tidak melindungi suspek yang meloloskan diri kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 216 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tiga bulan daripada hukuman berhubung pertuduhan kerana merompak,” katanya, semalam.

Mohmad berkata, apa sahaja maklumat termasuk kedudukan tertuduh yang diketahui oleh orang ramai perlu dilaporkan segera kepada polis, agar tindakan selanjutnya dapat diambil secepat mungkin.

Berdasarkan rekod polis, tertuduh terbabit sepatutnya dibicarakan bagi empat kesalahan jenayah melibatkan Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu rompakan menyebabkan kecederaan kepada mangsa, Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan;rompakan dengan menyamar sebagai pegawai polis dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata.

Ketika ditanya, berhubung tindakan yang akan dikenakan terhadap anggota polis yang bertugas pada hari kejadian, Mohmad berkata, siasatan sedang berjalan dan pihaknya akan melihat sama ada terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari penjagaan yang sah.

“Jika siasatan menunjukkan berlaku kecuaian di kalangan anggota yang bertugas, kita akan ambil tindakan sama ada tindakan tatatertib atau undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Pada 6 April lalu, tertuduh yang dibawa dari Penjara Sungai Buloh untuk sebutan kes rompakan di mahkamah terbabit, melarikan diri menerusi terowong berdekatan lokap, sebelum naik ke atas dan masuk ke lokap bilik mahkamah.

Tertuduh yang memakai singlet coklat dan berseluar pendek itu, kemudiannya meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah, sebelum kehilangannya disedari polis kira-kira empat minit kemudian.

Incoming search terms:

  • man kuchai (1)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Close