Peniaga Maut Tersepit Jentera Pembajak

Hasrat seorang peniaga pasar malam membantu bapa mengeluarkan jentera pembajak dari bawah rumah tidak kesampaian, apabila maut setelah badannya tersepit antara jentera berkenaan dengan lantai rumah neneknya.

Difahamkan mangsa, Mohd Hishamudin Yusoff, 22, meninggal dunia kira-kira jam 4.30 petang kelmarin di tempat kejadian, dipercayai sesak nafas sebelum dapat dikeluarkan oleh enam orang penduduk kampung.

Menurut bapa mangsa, Yusoff Ayob, 59, ketika kejadian sekitar jam 4.20 petang, dia bersama arwah sedang mengeluarkan jentera pembajak berkenaan untuk diselenggarakan setelah empat bulan tidak menggunakannya.

“Namun sewaktu arwah berada atas jentera itu untuk mengundurkannya, secara tiba-tiba bahagian jentera yang ringan terangkat sendiri. Badan arwah membongkok ke depan dan belakangnya terhantuk pada bawah lantai rumah, manakala dadanya tersepit pada jentera.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk menarik badan arwah kerana jentera itu berat, melainkan sempat mengajar arwah mengucap sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu Lapan, Simpang Empat, di sini, semalam.

Yusoff berkata, anak bongsu dari empat beradik itu turut dibawa ke klinik kesihatan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Arwah tidak mengalami sebarang luka pada badannya tetapi sedikit lebam di bahagian dada kesan tersepit.

“Arwah seorang yang periang dan dia sering menolong mengendalikan jentera itu sebelum ini. Namun nasib mungkin tidak menyebelahinya, sepatutnya selepas membawa keluar jentera itu dia akan pergi ke pasar malam membantu rakan berniaga.

“Dia berniaga di beberapa lokasi pasar malam semenjak tamat persekolahan. Walaupun arwah sudah tiada saya tetap akan mengusahakan sawah namun bukan dalam waktu terdekat ini,” katanya.

Katanya, jarak antara lokasi kejadian dengan sawah sejauh 100 meter sahaja.

Sementara itu, ibu arwah, Siti Aisyah Ramli, 56, berkata, arwah lebih mesra dengan panggilan Pak Su dalam keluarga dan sangat rapat dengan anak-anak saudara kerana tiga adiknya yang lain sudah berumah tangga.

“Biasanya sebelum keluar berniaga, arwah akan membawa dua anak saudaranya yang berumur sembilan serta tujuh tahun ke kedai membeli makanan ringan tetapi hari kejadian dia tidak sempat berbuat demikian.

“Arwah tinggal bersama kami lima beranak di rumah. Masa kejadian saya tiada di rumah dan turut pergi ke Jabatan Forensik HSB malam kejadian semasa menunggu proses bedah siasat selesai dilakukan,” katanya.

Nenek arwah, Tom Yaakob, 70, dia sempat bersembang dengan arwah sehari sebelum kejadian berlaku.

“Din menegur saya yang ketika itu baru balik dari memancing ikan. Dia ada tanya saya dapat atau tak ikan? Saya jawab tak dapat. Arwah mempelawa saya mengambil ikan di rumahnya,” katanya.

Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Simpang Empat kira-kira jam 11.30 malam kelmarin.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close