Penganut Buddha Protes Supaya Masjid Dipindah Tapak

Kerajaan Sri Lanka telah mengeluarkan satu perintah agar sebuah masjid, yang didakwa berusia 50 tahun, dipindah lokasi ekoran protes kalangan penganut Buddha yang mendakwa ia berada di tapak suci agama mereka, selain didirikan secara tidak sah.

Majoriti penduduk Sri Lanka beragama Buddha.

Arahan itu dikeluarkan dua hari selepas pengikut-pengikut dan sami Buddha di bandar Dambulla menyerbu masjid Talawa Jumaah.

Laporan media sebelum ini menyebut protes itu diadakan Jumaat lalu dan telah menjejaskan solat Jumaat.

Mereka juga telah menggesa agar sebuah kuil di kawasan itu dipindahkan.

Pertikaian mereka ialah masjid itu dibina di kawasan suci, yang telah pun diisytiharkan sebagai tapak warisan oleh Unesco.

Perdana Menteri DM Jayaratne berkata, masjid terbabit telah diarah dipindahkan ke kawasan lain yang lebih sesuai.

Bagaimanapun langkah itu mencetuskan kemarahan di kalangan ahli politik Muslim kanan di Sri Lanka.

Laporan media BBC dan Reuters berkata, kenyataan Perdana Menteri itu dikeluarkan secara tergesa-gesa sehari sebelum pelbagai pihak dijadual mengadakan perbincangan mengenai pertikaian tersebut.

Ketua agama Buddha di tengah Sri Lanka mengugut akan merobohkan masjid itu minggu ini jika pihak berkuasa tidak bertindak.

Satu pertemuan khas untuk membincangkan isu dilaporkan telah diadakan semalam.

Pertemuan itu, yang dikatakan dihadiri empat pemimpin Islam dan telah mencapai persetujuan untuk memindahkan masjid tersebut.

Bagaimanapun tiga daripada pemimpin yang disebutkan dalam kenyataan itu menafikan mereka hadir mesyuarat itu.

Menteri Kabinet AHM Fowzie dipetik BBC berkata, beliau tidak menghadiri mesyuarat sedemikian.

Katanya, permintan memindahkan masjid terbabit boleh diterima tetapi bukannya sebagai satu arahan.

Seorang lagi pemimpin politik parti yang memerintah, Azath Sally berkata, meskipun pembinaan masjid itu tidak sah, mereka tidak harus bertindak sebagai “samseng.”

“Apakah orang Tamil dan Muslim tiada hak di negara sendiri?” katanya dipetik BBC.

Jayaratne, yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Buddha berkata, beliau mengarahkan pemindahan masjid terbabit dari kawasan suci di Dambulla dan boleh dipindahkan ke kawasan berdekatan yang lebih sesuai.”

Katanya, masjid itu sedang dalam proses pembinaan dan penganut Buddha setempat mendakwa ia strukturnya sedang dibesar dan diluaskan secara tidak sah.

Bagaimanapun menurut ketua masjid, yang dipetik BBC berkata, pembinaan itu adalah sah.

Muslim yang tinggal di kawasan itu memberitahu Reuters bahawa masjid tersebut telah wujud sejak tahun 1962 dan solat diadakan sejak tiga dekad lalu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close