Pemandu Teksi Dijumpai Mati Di Bilik Hotel

Seorang pemandu teksi ditemui mati dalam sebuah bilik hotel bajet di Jalan pasar di sini, hari ini.

Mayat Mat Rosli Abdul Karim, 56, berasal dari Kijal, Kemaman, Terengganu itu ditemui pekerja hotel berkenaan dalam keadaan terbaring kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata mangsa sepatutnya mendaftar keluar dari hotel itu tengah hari tadi.

“Pekerja hotel itu memeriksa bilik tempat mangsa menginap bagaimanapun pintunya berkunci dan tiada sebarang jawapan selepas dipanggil beberapa kali.

“Pekerja terbabit kemudiannya bertindak membuka pintu bilik mengunakan kunci pendua dan mendapati mangsa terbujur kaku di dalam bilik berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati tiada kesan pergelutan atau unsur jenayah dan kematian mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close