Pelajar SMK Paduka Tuan Maut Digilis Keretapi

Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan meninggal dunia digilis kereta api penumpang ketika menyeberangi landasan kereta api di Kilometer 592, Landasan Segamat dan Genuang di sini, semalam.

Tragedi menyayat hati itu berlaku pada jam 1.20 tengah hari ketika Ahmad Iltizam Khalid, 15, yang juga anak sulung daripada empat beradik melintas landasan melalui pintasan haram.

Gambar Hiasan

Lokasi kejadian hanya 200 meter dari sekolah mangsa.

Ahmad Iltizam dipercayai berjalan sendirian menggunakan jalan pintas dengan menyeberangi Jalan Genuang untuk pulang ke rumahnya di Jalan West, Bukit Siput selepas tamat sesi persekolahan.

Ketika melintas landasan itu, kereta api Ekspres Sinaran yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Woodland, Singapura melalui laluan sama.

Iltizam diseret sejauh 50 meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala buku sekolah pelajar itu bertaburan di sekitar landasan. Kereta api itu turut berhenti berhampiran lokasi kejadian, tetapi perlu mengambil jarak 800 meter sebelum berhenti sepenuhnya sejurus kemalangan. Ia meneruskan perjalanan selepas polis menyelesaikan siasatan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanafi Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Mangsa menggunakan pintasan di landasan kereta api itu untuk pergi dan pulang dari sekolah setiap hari. “Laluan sama turut digunakan penduduk untuk melintas setiap hari. Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Fazil Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 1.30 tengah hari.

“Kejadian seumpama ini boleh dielak jika orang ramai tidak menggunakan pintasan haram untuk melintas landasan kereta api. “KTMB sudah banyak mengeluarkan peringatan berkaitan bahaya menyeberangi landasan kereta api serta mengadakan pelbagai kempen kesedaran.

“Ini kerana, sebaik dilanggar kereta api, kesannya boleh membawa maut. Walaupun mangsa hidup, kecederaan dialami pula teruk. KTMB menasihati orang ramai supaya menggunakan jejantas di sepanjang landasan kereta api,” katanya.

Menurut Fazil, KTMB berkuasa mendenda mereka yang ingkar sehingga RM500 mengikut Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2011.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close