Pelajar Samseng Buat Kecoh Di Balai Polis

Bagaikan kumpulan kongsi gelap, seramai 20 penuntut sebuah kolej kemahiran di Rawang, dekat sini, bertindak samseng apabila membuat kekecohan di Balai Polis Rawang selepas mendapat tahu mangsa yang dipukul mereka membuat laporan di balai itu, awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun tindakan mereka itu mengundang padah apabila mangsa mengecam suspek berusia lingkungan 17 hingga 20-an itu memberitahu polis menyebabkan 12 ditahan sementara yang selebihnya melarikan diri.

Menurut sumber, sebelum kejadian jam 1 pagi itu, 20 suspek terbabit didakwa menyerang tiga mangsa yang juga penuntut di kolej berkenaan kerana mangsa didakwa tidak menghormati mereka yang lebih senior.

“Ketiga-tiga mangsa dikepung di dalam bilik dibelasah selama beberapa minit sebelum mereka berjaya meloloskan diri.

“Dalam keadaan kepala berlumuran darah akibat pukulan terbabit, ketiga-tiga mangsa terus ke Balai Polis Rawang untuk membuat laporan,” katanya.

Sumber berkata, suspek yang masih tidak berpuas hati bertindak mengejar mereka sehingga ke Balai Polis Rawang menyebabkan berlaku kekecohan sehingga terpaksa ditenangkan anggota polis yang bertugas.

“Mangsa yang ketakutan kemudian menceritakan kejadian menimpa mereka kepada pihak berkuasa, menyebabkan polis menahan suspek,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close