Pasangan Izman & Murni Akad Nikah Di Wad Hospital

Kemalangan motosikal yang serius menyebabkan seorang pembantu am koma selama tiga hari tidak mematahkan semangat mangsa untuk meneruskan majlis akad nikahnya seperti yang dirancang.

Izman Mohamad,35, dinikahkan bersama pasangannya, Murni Osman, 33, dalam satu upcara yang ringkas di Wad Ortopedik di Hospital Melaka di sini, pada Sabtu.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh imam Masjid Fat’hur Rahman, Yunos Bidin pada pukul 10 pagi.

Murni yang juga kerani di pejabat Umno Bukit Katil di sini, berkata dia melahirkan rasa bersyukur kerana majlis yang serba ringkas itu berjalan lancar dan dihadiri oleh ahli keluarga dan staf di wad ortopedik.

Menurut Murni, dia mengenali Izman kira-kira setahun yang lalu dan sepatutnya melangsungkan majlis perkahwinan mereka di Durian Daun di sini, pada Sabtu.

“Saya sangat bersyukur, gembira dan berasa lega kerana majlis akad nikah dapat berlangsung seperti yang dirancang walaupun ia terpaksa diadakan di hospital,” katanya.

Dia berkata suaminya berada dalam keadaan koma selema tiga hari selepas motosikal yang dinaikinya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Hang Tuah pada pukul 1 petang, 6 April lalu.

Murni berkata Izman dibenarkan keluar dan menghadiri majlis bersanding mereka yang akan berlangsung pada Ahad di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Durian Daun.

BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close