Orang Asli Maut Tertembak Diri Sendiri

Seorang Orang Asli maut akibat tertembak diri sendiri di perkampungan Orang Asli Air Hitam dekat Paloh Hinai di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 petang itu, mangsa Awang A/L Seman, 29, mati serta merta di tempat kejadian akibat parah di mata dan kepala.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Yahaya Othman berkata, difahamkan mangsa bersama isterinya yang berumur sekitar 50-an keluar berburu ayam hutan di hutan berhampiran dengan membawa sepucuk senapang patah.

“Dipercayai mangsa secara tergesa-gesa dan bergegas mencapai senjata api yang diletakkan di bakul motosikalnya setelah ternampak seekor ayam hutan melintas.

“Pada masa yang sama, senapang patah itu meletup secara tiba-tiba lalu mengenai mata kanannya sebelum dia rebah ke tanah,” katanya.

Yahaya berkata, mangsa yang cedera teruk di mata dan muka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum isterinya membuat laporan polis.

Beliau berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan dan mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

“Siasatan awal mendapati senapang patah terbabit milik bapanya dan mangsa tidak memiliki lesen senjata api yang sah. Kita juga sedang siasat bagaimana senjata api tersebut berada dengan mangsa,” katanya.

– BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close