Mulai 1 Mei | Stesen TV Tidak Boleh Monopoli Siaran Sukan

Mulai 1 Mei depan, semua stesen televisyen di negara ini yang mendapat hak penyiaran kandungan sukan bercirikan kepentingan negara perlu berkongsi kandungan itu dengan semua stesen televisyen bebas ke udara yang tidak memperoleh hak penyiaran.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, langkah itu bagi membolehkan semua kandungan sukan digemari rakyat Malaysia disiarkan secara meluas oleh stesen televisyen di negara ini tanpa dimonopoli stesen tertentu saja.

“Sukan kenegaraan ada daya tarikan menyeluruh seperti sukan Olimpik, badminton, bola sepak, kami tidak benarkan monopoli satu stesen melainkan semua stesen boleh berkongsi dan boleh disiarkan menerusi saluran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan ‘RTM Mobile’ sempena sambutan ulang tahun ke-66 Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, semalam.

Rais berkata, sekiranya acara sukan itu tidak disiarkan oleh stesen televisyen bebas ke udara, kandungan itu seterusnya akan dikongsi stesen televisyen berbayar.

Katanya, langkah itu dilaksanakan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang bertujuan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menonton dan mengikuti acara sukan popular dan membabitkan pasukan negara.

Beliau berkata, stesen televisyen boleh memilih dan menyiarkan acara sukan yang ingin disiarkannya daripada stesen televisyen yang mendapat hak penyiaran sukan itu.

Menurutnya, antara acara yang disenaraikan Sukan Olimpik musim panas, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan Sea, Sukan Malaysia, Piala Thomas dan Uber, All England, BWF Super Series, AFC Asian Cup, Asean Football Federation Cup, Fifa World Cup (separuh akhir dan akhir) dan English Premier League (perlawanan akhir). – Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close