Marah Diberhentikan Kerja | Upah Samseng Pukul Bos

Marah diberhentikan kerja, seorang wanita berusia 50 tahun sanggup mengupah sekumpulan enam samseng untuk memukul bekas majikannya di kawasan sebuah pusat hiburan di Kompleks Wilayah, di sini, Jumaat lalu.

Mangsa yang bekerja sebagai pengurus sebuah pusat hiburan berusia 49 tahun itu dilaporkan menerima lebih tiga jahitan di kepala selain cedera di seluruh badan akibat dibelasah kumpulan terbabit yang menggunakan senjata dipercayai buku lima.

Semuanya bermula kira-kira jam 12 tengah malam, apabila mangsa yang sedang bekerja di pusat hiburan berkenaan didatangi dua lelaki yang mendakwa mahu berbincang dengannya.

Menurut sumber, dua lelaki berusia 30-an itu memarahi mangsa dan mempersoalkan tindakannya memberhentikan suspek.

“Belumpun sempat mangsa membuat penerangan, empat lagi lelaki yang juga ahli kumpulan terbabit menghampirinya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudiannya dipukul kumpulan berkenaan lebih 10 minit sebelum dia diheret keluar dari premis berkenaan.

“Mangsa terus disepak terajang, ditumbuk enam suspek sebelum wanita berkenaan yang menunggu mangsa di luar premis itu menunjukkan diri.

“Wanita terbabit memaki hamun mangsa sebelum mendakwa dia yang mengupah kumpulan berkenaan untuk memukulnya kerana mengatakan dia diberhentikan kerja tanpa sebab munasabah,” katanya.

Katanya, sebelum wanita dan enam samseng terbabit meninggalkan kawasan itu, mereka mendakwa akan mencari dan mencederakannya jika membuat laporan polis.

“Mangsa kemudiannya ditinggalkan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di hadapan premis berkenaan,” katanya.

Katanya, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), oleh beberapa rakan sekerjanya di pusat hiburan berkenaan.

Difahamkan, mangsa dibenarkan keluar dari hospital berkenaan kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

Sehubungan itu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close