Lelaki 28 Tahun Maut Ditembak Dengan Senapang

Seorang lelaki berusia 28 tahun yang masih belum didedahkan identitinya ditemui mati dipercayai akibat ditembak dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Hulu di sini kira-kira jam 8 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata, susulan kejadian itu, polis yang menerima aduan daripada orang awam menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dari kampung yang sama untuk membantu siasatan.

“Saya tidak boleh dedahkan nama mangsa setakat ini, polis masih lagi menyiasat kes tersebut daripada beberapa sudut dan berharap ada saksi boleh tampil untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis turut menjumpai sepucuk senapang patah di sebuah rumah berhampiran tempat kejadian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Facebook Comments

Comments are closed.

Close