Kes Tikam Mangsa Baru Balik Beli Burger | Dua Pelajar Tingkatan Lima Ditahan

Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang pelajar tingkatan lima yang baru pulang membeli burger di Apartment Adora, Seksyen 25, di sini, maut ditikam dalam kejadian Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, susulan kejadian pihaknya menjalankan penyiasatan dan menahan dua suspek berusia lingkungan 20-an, kelmarin, berhampiran lokasi pembunuhan itu. Menurutnya, soal siasat setakat ini menunjukkan berlaku salah faham di antara mangsa dan suspek sehingga menyebabkan pelajar itu ditikam hingga mati.

“Kita percaya suspek dapat membantu siasatan kes ini. Bagaimanapun kita belum menemui senjata yang digunakan dalam kes bunuh itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek ditahan reman untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Harian Metro semalam melaporkan hasrat seorang pelajar tingkatan lima yang mahu menjamah burger baru dibelinya tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dengan kesan tikaman di tempat letak kereta di Apartmen Adora, Seksyen 25, di sini. Mangsa, R Teeneshe, 17, ditemui terbaring oleh orang ramai yang melalui kawasan itu bersama burger baru dibeli mangsa, kira-kira jam 12 tengah malam Sabtu lalu.

Laporan memetik mangsa maut selepas ditikam dengan senjata tajam dipercayai pemutar skru di beberapa bahagian badan.

Facebook Comments
Close