Kerani Akaun Maut Motosikal Rempuh Pacuan Empat Roda

Seorang kerani akaun sebuah syarikat pembinaan maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah pacuan empat roda di Kilometer 8, Jalan Dungun-Bukit Besi, petang semalam.

Halimaton Saadiah Mohamad Arifin, 29, maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala dan patah tengkuk dalam kemalangan kira-kira pukul 5.40 petang.

Gambar hiasan

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari pejabatnya untuk pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Besi.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit dikatakan memberhentikan kenderaannya di bahu kiri jalan sebelum dirempuh motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah belakang.

Pemandu pacuan empat roda terbabit, Fauzi Ibrahim, 43, dari Felda Ketengah Jaya yang tidak mengalami sebarang kecederaan, membuat laporan di Ibu Pejabat polis Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close