Kem PLKN Terkok Akan Ditutup Dalam Waktu Terdekat

Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Terkok, Sungai Siput akan ditutup dalam tempoh terdekat ekoran kematian pelatihnya, R. Vinoth yang didakwa terkena jangkitan wabak kencing tikus atau Leptospirosis, Mac lalu.

Bagaimanapun, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penutupan kem tersebut adalah bersifat sementara sehingga pihak Jabatan Kesihatan Daerah mengesahkan kem berkenaan selamat untuk didiami oleh pelatih PLKN.

“Justeru, tiada pengambilan pelatih baru akan di buat di kem tersebut. Kita akan lakukan pemantauan 100 peratus, dari segi kebersihan, kemudahan serta keselamatan seperti yang telah ditentukan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

“Untuk pengambilan kedua tahun ini, Kem Sg Siput, tidak akan dibuka, ia ditutup sementara waktu sehingga pihak JLKN berpuas hati dengan tahap kebersihan dan keselamatan di kem tersebut telah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,”katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Rabu.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, semua aktiviti air di semua kem PLKN akan dihentikan sementara waktu sehingga JLKN mengkaji semula keberkesanan modul tersebut.

“Saya telah membuat keputusan untuk mengeluarkan semua aktiviti dan latihan air daripada modul PLKN untuk pengambilan pelatih bagi sesi kedua dan ketiga di semua kem.

“Pada masa akan datang, kita akan kaji untuk membuat aktiviti dan latihan air dalam kolam renang berbanding tasik atau kolam,” katanya.

Pada 12 Mac lalu, seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), R. Vinoth meninggal dunia selepas dirawat selama tiga hari di Hospital Sungai Siput kerana demam.

Pelajar tersebut didakwa dijangkiti Virus Kencing Tikus ketika berada di Kem PLKN Terkok, Sungai Siput.

Mengulas lanjut, mengenai isu berkenaan Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan mengagihkan-agihkan pelatih PLKN yang ditempatkan di Kem Sg Siput ke kem-kem PLKN yang lain.

“Pihak JLKN dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah membuat ujian terhadap sampel air sebelum latihan di buat dan kita dapati air tersebut tidak tercemar. Jadi anda tidak boleh membuat sebarang andaian sehingga laporan penuh siap.

“Ujian terhadap sampel air tersebut telah dibuat pada 1 Februari namun latihan dan aktiviti air dijalankan selepas itu. Sekiranya kita dapati air tersebut tercemar dengan virus berkenaan kita akan hantar pelatih untuk menjalani aktiviti air di kem lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kecil berkata punca kematian seorang pelatih India di kem Sg Siput yang didakwa dijangkiti virus kencing tikus masih belum disahkan kerana pihaknya belum menerima laporan penuh daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

“Keputusan belum ada, kita belum terima laporan penuh daripada pihak hospital. Kita masih menunggu laporan tersebut,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close