Kanak-kanak Mangsa Jatuh Longkang Meninggal

“Waktu saya pegang Nur Hidayah, hujung kakinya sejuk manakala kukunya kebiru-biruan,” kata Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok 2, Rohanah Abbas.

Beliau menceritakan perubahan Nur Hidayah Mohamad, 7, saat murid tahun satu itu tenat sebelum menghembuskan nafas terakhir lewat petang kelmarin di Hospital Kemaman.

Gambar hiasan

Nur Hidayah yang bertarung nyawa sejak sekian lama selepas tragedi jatuh ke dalam longkang besar di hada­pan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kemaman, Mak Chili pada 14 Februari lalu, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.52 petang, ketika berada di samping kedua ibu bapa, wakil PIBG dan gurunya.

Rohanah yang segera bergegas ke hospital bersama Naib YDP, Norhayati Che Kamaruddin selepas menerima panggilan daripada bapa Nur Hidayah kira-kira jam 5.30 petang, melihat dada kanak-kanak malang itu berombak kencang ketika sampai ke wad kanak-kanak.

“Saya turut memegang tangannya namun ketika mahu meleraikan genggaman tangan dia masih pegang tangan saya, walaupun dia kelihatan cukup lemah,” katanya.

Ibu mangsa, Norizah Zakaria, 42, berkata, beberapa detik sebelum menghembuskan nafas terakhir, Nur Hidayah batuk lalu terkeluar buih daripada mulutnya sebelum dia menekap dada dan menyedut buih yang keluar serta memanggil-manggil nama anak bongsunya itu, namun tiada sebarang respons.

Bapanya, Mohamad Embong, 48, pula berkata, dia tidak sangka keadaan Nur Hidayah kembali tenat sedangkan beberapa hari sebelum itu, anaknya beransur sihat dan doktor yang melakukan ujian imbasan mengatakan anaknya boleh pulang ke rumah dalam beberapa hari lagi.

“Bagaimanapun kira-kira jam 10 pagi tadi (semalam) nafasnya makin lemah, dia juga turut diserang demam,” katanya di Unit Forensik, Hospital Kemaman malam semalam.

Nur Hidayah yang koma selama dua minggu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hanya sempat dirawat di rumahnya di Kampung Jaya, Chukai, juga dua minggu sebelum kembali dimasukkan ke wad Hospital Kemaman 2 April lalu akibat sawan, dan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazah dikafan dan disembahyangkan terus di Unit Forensik sebelum diserahkan kepada keluarga serta selamat dikebumikan di kampung halaman bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Losong Lebai Salleh, Kuala Terengganu kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan penderitaan hidup Nur Hidayah selepas tragedi jatuh dan lemas dalam longkang besar tidak berpenutup yang masih dalam pembinaan ketika sedang bermain di belakang gerai pisang goreng ibunya.

Rentetan hidup Nur Hidayah cukup memilukan sebab sejurus tersedar dari koma, dia tidak mampu bergerak dengan badan kejang dan bergantung pada mesin penyedut kahak serta alat pernafasan untuk terus hidup.

Facebook Comments
Close