Kanak-kanak Lemas Terjatuh Kolam Berhampiran Rumah

“Ketika menghimpunkan semua anak untuk mandi, baru saya sedar dia tiada. Selepas gagal mencarinya di sekeliling rumah, hati saya terdetik mungkin anak bongsu terjatuh dalam kolam berdekatan rumah kami.

“Sejurus ke sana, nyata telahan saya betul. Luluh hati saya melihat tubuh kecilnya terapung di dalam kolam itu,” kata Che Rashid Yaacob, 43, menceritakan kejadian anak bongsunya, Mohd Hakimi, 3, lemas selepas terjatuh ke dalam kolam air berhampiran rumahnya di Kampung Banggol Kemunting, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, mangsa ditemui bapanya dalam keadaan kaku dalam kolam sedalam lebih satu meter itu yang jaraknya kira-kira enam meter dari rumah mereka. Che Rashid berkata, sebelum dia menghimpunkan semua enam anaknya untuk mandi bersama di halaman rumah seperti biasa dilakukan setiap petang, mangsa dilihat bermain bersama abang dan kakaknya.

Menurutnya, sebelum itu, arwah Mohd Hakimi meminta ibunya, Rohani Samad, 37, membelikan makanan kegemarannya iaitu biskut dan susu cair.

“Jadi, ketika kejadian isteri saya tiada di rumah kerana dia pergi ke kedai untuk membeli makanan diminta arwah. Sebak hati kami apabila arwah tidak sempat menikmati makanan dan minuman kegemarannya itu.

“Sebelum ini tiada sebarang perubahan ketara ke atas Mohd Hakimi kerana dia kanak-kanak pendiam dan percakapan juga masih kurang lancar walaupun sudah berusia tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan, Abdul Aziz Mahmood ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, mangsa dihantar keluarganya dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Hospital Tanah Merah sebelum disahkan sudah meninggal dunia sejurus tiba di hospital.

Facebook Comments
Close