Kanak-kanak Dipatuk Ular Ketika Persembahan

Pengunjung Fiesta Pelancongan Peringkat Daerah Kerian, di Dataran Pinggiran Sungai Kerian, di sini, dikejutkan dengan insiden seorang kanak-kanak dipatuk ular semasa mengadakan pertunjukan bermain ular pada majlis perasmian, semalam.

Kanak-kanak berkenaan, Mohd Amirul Azimi Yahaya, 9 merupakan dijemput untuk menunjukkan kemahiran permainan ular dengan pelbagai gaya bersama bapanya, Yahaya Abdullah, 60.

Yahaya ketika ditemui berkata, Mohd Amirul Azimi dipatuk spesis Ular Punti pada pipi kiri sehingga berdarah, menyebabkan kanak-kanak itu jatuh tertiarap dengan mulut berbuih.

Menurutnya, sungguhpun kejadian itu mengejutkan namun ia merupakan perkara biasa bagi seorang pemain ular dan anaknya selamat tanpa menghadapi sebarang risiko.

“Anak saya selamat serta sihat seperti sediakala. Malah dia lebih bersemangat untuk menunjukkan kemahirannya bermain ular kepada orang ramai.

“Ini merupakan kejadian yang biasa terjadi dan saya mempunyai cara untuk merawatnya termasuk mendapatkan rawatan dari hospital,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Amirul Azimi mendapat rawatan daripada kakitangan Hospital Parit Buntar (HPB) yang turut berada di tapak fiesta berkenaan, semalam.

Pertunjukan permainan ular oleh dua beranak itu merupakan antara atucara perasmian Fiesta Pelancongan Peringkat Daerah Kerian yang diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Yahya yang tinggal di Perumahan Penduduk Miskin Setempat (PPMS) Bukit Merah, dekat sini menjelaskan, dia telah berkecimpung dalam pertunjukan permainan ular sejak 20 tahun lalu.

Katanya, semenjak itu, dia telah berpeluang menjelajah ke seluruh pelosok tanah air termasuk Sabah, Serawak dan Singapura untuk mengadakan persembahan.

“Mohd Amirul Azimi telah mengadakan persembahan bersama saya sejak beberapa tahun dan mampu mempamerkan kemahiran permainan ular yang luar biasa.

“Dia merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan mempunyai minat serta bakat semula jadi dalam bidang ini,” katanya.

Sebanyak lima ekor ular dari spesis Punti atau Tiong, Rusuk Kerbun, Gelia, Tedung Selar dan Tedung Koca yang diperolehi dari sekitar negeri ini dipersembahkan pada pertunjukan semalam.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close