Juruteknik Jatuh Motosikal Disondol Babi

Seorang bekas juruteknik tidak dapat melakukan kerja berat untuk mencari rezeki menyara keluarga selepas dia patah tulang bahu kirinya dalam satu kemalangan, Disember tahun lalu.

Mohd Fadli Mohd Sharif, 27, berkata, setelah empat bulan kejadian terbabit, dia kini mencari rezeki dengan bekerja kontrak bersama bapa mertuanya, Ramli Khamis, bagi menampung kehidupannya bersama isteri dan seorang anak.

Gambar hiasan

Menurutnya, mengimbas kejadian yang berlaku Disember tahun lalu, ketika itu dia sedang menunggang motosikal dari rumahnya yang terletak di Kampung Guar Jumaat untuk ke tempat kerja di Aimst University.

“Ketika menunggang motosikal dalam kawasan kampung kira-kira jam 7.30 pagi, saya terkejut apabila tiba-tiba seekor babi hutan meluru ke arah saya dan terus melanggar saya dari arah kiri sebelum saya terjatuh.

“Pada ketika itu, nasib saya baik kerana kebetulan bapa saudara sedang menunggang motosikal di belakang saya dan dia berhenti untuk membantu saya,” katanya.

Mohd Fadli berkata, dia menerima rawatan di Hospital Yan dan doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa dia mengalami kecederaan di bahagian tulang bahu kiri akibat hentakan kuat semasa terjatuh dari motosikal akibat disondol babi hutan berkenaan.

Menurutnya, dia kemudiannya diberi cuti sakit selama dua bulan dan kini tidak lagi bekerja sebagai juruteknik di universiti berkenaan kerana masih tidak dapat melakukan kerja berat akibat kecederaan itu.

“Saya kini hanya membantu bapa mertua untuk menampung perbelanjaan keluarga kerana kecederaan yang dialami mengambil masa lama untuk sembuh.

“Saya bersyukur kerana keadaan semakin pulih dan terselamat daripada kemalangan yang masih dalam ingatan dan tidak dapat dilupakan,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close