Ibu Maut | Bayi Tiga Bulan & Bapa Parah

Seorang wanita maut selepas kereta yang dinaiki bersama suami dan anaknya merempuh pengadang besi jalan di Kilometer 306.2 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), pagi semalam.

Lebih menyayat hati, bayi berusia tiga bulan yang dipangku mangsa dan suaminya yang memandu cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kereta Toyota Camry yang dipandu dari arah Ipoh menghala ke Kuala Lumpur terbabas ke kiri lebuh raya sebelum merempuh pengadang besi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, mangsa, Keng Siew Mei, 35, maut di tempat kejadian manakala anaknya, Tang Lee Yen dan suaminya berusia 30 tahun parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Katanya, mangsa yang berasal dari Petaling Jaya itu terhantuk pada bahagian hadapan kenderaan dan parah di kepala.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta itu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pengadang besi jalan.

“Polis masih menyiasat punca kemalangan dan ketika kejadian cuaca dikatakan baik manakala lalu lintas juga lancar,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close