Gambar Vedran Gerc Pemain Import Dari Croatia Pasukan Kedah

Setelah menyingkirkan tiga pemain importnya, Kedah kini menyandarkan harapan kepada pemain dari Croatia, Vedran Gerc untuk mempertajamkan bahagian serangan Sang Kenari bagi mengharungi saingan pusingan kedua Liga Super musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi menggantikan Hamidan Mohammed yang disingkirkan Jumaat lalu.

Gambar Vedran Gerc dari Facebook Hijaukuning.com

Sebelum ini, KFA turut menyingkirkan dua pemain dari Brazil, Daniel Baroni dan Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo kerana gagal menyerlah bersama Hijau Kuning.

Kehadiran Gerc sebagai pemain import kedua amat ditagih oleh skuad Sang Kenari untuk membantu pasukan itu memperbaiki kedudukan dalam Liga Super apabila kini menghuni tangga ketiga tercorot selepas hanya mampu mengumpul 13 mata daripada 13 perlawanan.

Pengurus pasukan Kedah, Datuk Khazali Din berkata, pihaknya berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan Gerc ketika diturunkan dalam beberapa perlawanan ujian sebelum ini.

”Pemain import terbaru Kedah ini dijangka dapat diturunkan pada perlawanan menentang Sarawak di Stadium Kuching, esok,” katanya di sini semalam.

– UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *