Fenomena Halo Dikesan Berlaku Di Alor Setar

Orang ramai di bandar raya ini dikejutkan dengan satu fenomena di mana lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari atau bulan.

Keadaan yang dikenali sebagai Fenomena Halo itu mula dikesan tengah hari semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, keadaan itu adalah satu fenomena semula jadi.

Gambar carian Google

“Terdapat banyak jenis halo, tetapi kebanyakannya terjadi daripada kristal ais dalam awan tinggi cirrostratus yang kelihatan seakan-akan kepingan awan yang terletak pada ketinggian sekitar 6,000 – 18,000 meter di atas paras tanah,” menurut kenyataan itu.

Dalam amalan pemerhatian cuaca, kewujudan halo adalah antara petunjuk yang boleh diguna untuk meramal hujan atau ribut petir dalam tempoh 12 hingga 24 jam, terutama jika ia diikuti awan jenis pertengahan.

Menurut kenyataan itu, lapisan awan cirrostratus sangat nipis sehinggakan matahari atau bulan boleh dilihat dengan jelas melaluinya, tetapi kadang-kadang matahari atau bulan juga boleh kelihatan sebagai bayangan malap melalui lapisan awan yang tebal.

Apabila cahaya matahari atau cahaya bulan melalui kristal ais awan cirrostratus, cahaya tersebar atau dibiaskan yang menyebabkan halo terbentuk.
Menurut kenyataan itu lagi, orang ramai yang ingin melihat halo perlu memastikan kedua-dua mata dilindungi daripada pancaran matahari.

“Jangan sesekali memandang halo secara terus dan dalam tempoh yang lama dan perlu sembunyikan matahari dari penglihatan di sebalik binaan, bangunan atau apa-apa sahaja,” katanya.

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati apabila mengambil gambar halo tanpa pelindung matahari kerana ia sangat berbahaya terutamanya ketika menggunakan kamera Single-lens reflex (SLR). – BERNAMA

Facebook Comments
Close