Derita Isteri Suami Hilang Tanpa Berita & Anak Pula Maut Kemalangan

Derita seorang wanita yang dua tahun ditinggalkan suami bertambah perit apabila dia kehilangan anak bongsunya dalam kemalangan maut di Kilometer 73.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, depan Sekolah Menengah Teknik Dungun, di sini, semalam.

Maimun Tahir, 54, yang sebelum ini diselubungi kesedihan selepas suaminya, Zaharudin Mamat, 56, hilang tanpa khabar sekali lagi menerima ujian getir apabila anaknya, Ahmad Zikri Zaharudin, 16, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil dari arah belakang pada jam 7.20 pagi.

Sebelum kejadian mangsa sempat menghantar rakannya, Muhammad Faizal Yusri Mohd Shazali, 16, ke sekolah berkenaan sebelum dia yang tidak sihat membuat pusingan U untuk pulang ke rumah dan dirempuh kereta terbabit.

Maimun yang bertugas sebagai kerani kanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun, di sini, berkata anaknya tidak ke sekolah kerana mengadu demam dan sakit kepala.

“Tetapi pada pagi kejadian, dia meminta wang RM10 untuk mengisi minyak motosikalnya sebelum meminta izin menghantar rakannya ke sekolah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, arwah mengadu sakit kepala dan lenguh badan serta kurang selera makan selain banyak termenung sejak beberapa hari lalu.

“Malam tadi (kelmarin) saya masak nasi goreng untuknya tetapi dia makan tak habis. Saya juga minta dia tukar kad pengenalannya yang sudah koyak tetapi dia jawab tak payah,” katanya yang memberitahu dia merasakan sikap arwah agak pelik ketika itu.

Maimun berkata, hatinya bertambah sedih berikutan kehilangan anak tanpa sokongan suami di sisi kerana lelaki berkenaan sudah dua tahun menghilangkan diri tanpa khabar berita dan sehingga hari ini usaha mencari menemui jalan buntu.

“Saya ada mendapat berita suami bersama isteri pertamanya di Pengkalan Chepa, Kelantan. Saya sudah meminta rakan mencarinya namun sehingga hari ini dia gagal ditemui,” katanya.

Menurutnya, sepanjang ketiadaan suaminya itu, segala urusan rumah tangga dipikulnya sendiri termasuk membiayai persekolahan dua anaknya termasuk arwah.

“Saya harap suami terbaca berita kemalangan ini untuk dia mengetahui anak bongsu kesayangannya itu sudah dijemput Ilahi,” katanya.

Rakan mangsa, Muhammad Faizal berkata, dia sempat melihat jenazah arwah bergolek di atas jalan raya selepas terdengar bunyi rempuhan kuat.

“Saya meminta arwah meninggalkan saya di perhentian bas depan sekolah untuk menunggu rakan lain dan sebaik menoleh selepas terdengar bunyi rempuhan kuat, saya dapati arwah sudah bergolek di atas jalan,” katanya.

Dia berkata, seorang pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaannya meluru ke arah arwah dan memangkunya sebelum mengajar arwah mengucap.

“Saya tak dapat berbuat apa-apa kecuali menangis selepas melihat arwah berhadapan maut dalam keadaan mulutnya beberapa kali menyemburkan darah sebaik cuba mengucap,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close