Dapat Kembar Tiga Melalui Kaedah IVF

Percubaan kali kedua sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata menerusi kaedah rawatan persenyawaan luar rahim (IVF) membuahkan hasil ‘luar biasa’ apabila mereka dikurniakan anak kembar tiga yang lahir menerusi pembedahan pada 18 April lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Lebih manis, kelahiran bayi kembar iaitu dua lelaki dan seorang perempuan itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila ia menjadi pasangan kembar tiga IVF pertama dilahirkan di hospital berkenaan menerusi proses pembekuan embrio yang dikendalikan doktor pakar di hospital berkenaan.

Pasangan suami isteri, Chang Keng Leong, 33, dan Lee Foong Theng, 30, yang juga pengusaha restoran tidak pernah menyangka impian mereka selama tujuh tahun untuk mendapatkan cahaya mata berakhir dengan kelahiran kembar tiga itu. Bayi kembar tiga masing-masing seberat 2.1, 1.8 dan 1.7 kilogram dilahirkan selang seminit bermula jam 8.46 pagi dan mereka masih diletakkan di bawah pengawasan doktor di Wad 6C hospital itu kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Kembar itu dijangka pulang ke rumah selewat-lewatnya minggu depan.

Lee yang kini menetap di Bandar Seri Botani berkata, dia disahkan doktor tidak boleh mengandung kerana mengalami masalah di bahagian tiub fallopio sebelum membuat keputusan untuk menemui Pakar Perunding Obstetrik Dan Ginekologi HRPB, Dr Tham Seong Wai.

Menurutnya, dia mula menjalani rawatan itu pada Mei tahun lalu, namun percubaan pertama gagal sebelum menggunakan proses pembekuan embrio pada September tahun sama.

“Saya hanya menjangkakan seorang saja anak, namun tidak menyangka dapat tiga anak sekali gus. Bagaimanapun, saya gembira kerana selepas sekian lama akhirnya saya dan suami mampu mempunyai zuriat sendiri,” katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai kesukaran dihadapinya sepanjang tempoh mengandung, Lee berkata, dia mengakui mengalami alahan teruk selain sukar tidur dan berjalan kerana kandungan yang semakin membesar.

Sementara itu, Dr Tham berkata, dia tidak menyangka kaedah pembekuan embrio dilakukan terhadap Lee berjaya memandangkan kaedah itu hanya mempunyai peluang kira-kira 15 peratus untuk matang berbanding kaedah IVF biasa menggunakan embrio segar apabila peluangnya boleh mencecah sekitar 30 peratus.

“Bagi kes Lee, saya memindahkan tiga embrio dalam saluran peranakannya. Ketika menjalani proses imbasan pada bulan pertama, hanya dua janin dapat dikesan, namun proses imbasan kedua pada bulan berikutnya berjaya mengesan tiga janin,” katanya.

Menurutnya, selepas dilancarkan di HRPB sejak empat tahun lalu, kaedah rawatan IVF menerima sambutan menggalakkan.

Facebook Comments

Incoming search terms:

  • proses ivf (12)
  • persenyawaan luar rahim (10)
Close