Cek Hak Cipta Superman Dilelong Di Internet

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Beberapa dekad selepas dua kartunis muda dari Cleveland menjual hak cipta ke atas adiwira Superman pada harga cuma AS$130 (RM398), cek bertarikh tahun 1938 yang dibayar kepada mereka kini berharga AS$160,000 (RM490,400) dalam satu lelongan di Internet.

Bidaan tersebut berjaya memperoleh cek yang dikeluarkan oleh syarikat Detective Comics, kini dikenali sebagai DC Comics, kepada Jerome Siegel dan Joe Shuster untuk hak cipta ke atas karakter wira yang memiliki huruf S pada dadanya (Superman).

“Konsep adiwira lahir bersama Superman,” kata pemilik bersama syarikat ComicConnect, Vincent Zurzolo yang mengadakan lelongan berkenaan.

“Cek AS$130 ini menghasilkan industri yang kini bernilai berbilion-bilion dolar,” tambahnya.

Menurutnya, cek berkenaan dijual bagi pihak pewaris seorang pekerja firma DC Comics yang menyimpan kertas tersebut selama beberapa dekad di dalam laci sebuah almari di bilik tidur kediamannya.

Zurzolo bagaimanapun, enggan mendedahkan identiti pembeli cek tersebut.

Cek berkenaan dilelong beberapa bulan selepas komik edisi pertama Superman dilelong pada harga AS$2.16 juta (RM6.62 juta) pada Disember tahun lalu.

Kos untuk menerbitkan komik itu pada 1938 cuma AS$0.10 (RM0.30).

– REUTERS

Facebook Comments

Comments are closed.

Close