Caj Daftar RM5 Di Hospital & Klinik Dikecualikan Pada Warga Emas

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pengecualian caj pendaftaran sebanyak RM5 di Jabatan Pesakit Luar Pakar di hospital dan klinik kerajaan bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata pengecualian itu yang berkuatkuasa pada 1 Mei adalah tambahan kepada pengecualian caj pendaftaran pesakit luar sebanyak RM1 di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia yang diumumkannya tahun lalu.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pengurangan caj sebanyak 50 peratus daripada kadar caj pesakit Kelas Tiga hospital kerajaan dengan caj maksimum sebanyak RM250 sahaja bagi setiap kemasukan.

“Pengecualian tambahan itu adalah sebagai menunjukkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan warga emas,” katanya semasa berucap merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia di sini hari ini.

Pusat itu yang ditubuhkan menerusi kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Hospital Putrajaya hanya melibatkan kos kurang daripada RM12 juta yang merangkumi kos-kos perolehan peralatan perubatan, bukan perubatan dan kenderaan serta pengubahsuaian bangunan.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close