Bersih 3.0 | Rentetan Kereta Polis Diterbalikkan

Dua kereta peronda polis diterbalikkan dan dirosakkan sekumpulan peserta Perhimpunan Bersih 3.0 di depan pusat beli-belah Sogo dan Kompleks Pertama, di sini, manakala enam anggota trafik di dalamnya turut cedera dipukul penyokong berkenaan, petang semalam.

Sepucuk pistol milik anggota trafik dilaporkan hilang dipercayai dilarikan kumpulan peserta terbabit sebaik kejadian berlaku. Difahamkan, pistol berkenaan ditemui semula.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam twitternya memaklumkan, pistol anggota yang hilang itu ditemui dan dua anggota polis dimasukkan ke wad.

Saksi kejadian, Mohd Azri Salleh@Khalid, 28, yang juga kakitangan TV al-Hijrah berkata, ketika kejadian jam 4.15 petang, dia mahu merakam gambar sebuah kenderaan polis sebaik dimaklumkan kenderaan itu merempuh dua peserta sebelum cermin kenderaan itu dibaling batu di depan Sogo.

“Saya terus berlari ke arah kenderaan itu dan sebaik tiba, ramai peserta mengerumuninya dan saya cuba membantu mengeluarkan anggota terbabit, tetapi ditumbuk di muka. Anggota polis yang cuba keluar dari kenderaan itu pula dipukul dan ditendang.

“Sebuah lagi kenderaan pegawai penyiasat turut dirosakkan di depan Kompleks Pertama. Semua anggota yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sebelum itu, perhimpunan yang sepatutnya berlangsung secara aman berakhir dengan kekecohan apabila segelintir peserta merempuh pagar halangan polis untuk memasuki Dataran Merdeka, jam 3 petang, menyebabkan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa menembak gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Dianggarkan puluhan ribu penyokong membanjiri ibu kota sekali pun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis mengeluarkan arahan supaya tiada perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka selepas mendapat perintah mahkamah.

Mereka mula membanjiri jalan utama di sekitar Dataran Merdeka hingga menyebabkan kesesakan teruk. Beberapa premis perniagaan turut ditutup kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

Sikap degil peserta yang enggan bersurai selepas diarah berbuat demikian memaksa FRU melepaskan beberapa gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka. Meriam air turut digunakan untuk menyuraikan peserta.

Selain, itu, kesesakan jalan yang teruk dilaporkan berlaku di pinggir pusat bandar apabila polis terpaksa menutup 58 jalan serta susur laluan berikutan perhimpunan berkenaan.

Polis Kuala Lumpur melalui laman Facebook pasukan itu menjelaskan, laluan itu ditutup secara berperingkat-peringkat sejak 6 pagi dan akan dimaklumkan pembukaannya kemudian.

Berikutan perhimpunan itu, beberapa batang jalan pula akan dilencongkan.

Setakat jam 5.30 petang ini, seramai lebih 30 peserta ditahan selepas ingkar arahan polis supaya bersurai.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close