Bekas Speaker Dun Perlis Meninggal

Bekas Speaker Dewan Undangan negeri Perlis, Datuk Indera Jaya Mahmud Hashim, 89, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Darat, Beseri dekat sini malam tadi kerana sakit tua dan masalah saraf.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 11.45 malam di hadapan isterinya, Datin Argon Saad, 84, anak angkatnya, Abdul Manaf Kasa, 49 serta menantu angkatnya, Siti Jamaliah Zaini, 46.

Anak sulung allahyarham, Hakimi, 54 memberitahu, ayahnya yang mengalami sakit saraf sejak kira-kira tujuh tahun lalu dengan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dan Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar, terlantar di rumahnya kerana terlalu uzur sejak empat tahun lalu.

Selepas bersara daripada perkhidmatan guru pada awal tahun tujuh puluhan beliau terbabit secara aktif dalam politik dan memenangi pilihan raya umum bagi kerusi dewan undangan negeri kawasan Paya pada 1974.

Allahyarham yang memenangi kerusi yang sama bagi penggal kedua pada 1978 dilantik menjadi speaker dewan undangan negeri Perlis sehingga 1982.

Semasa hayatnya, allahyarham aktif dalam kegitan sukarela termasuk pertubuhan pengakap, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), pertubuhan peladang, persatuan ibu bapa dan guru-guru (PIBG) dan pergerakan belia.

Jenazah allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Tunjong, tidak jauh dari kediamannya 1.45 tengah hari tadi selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Darat, Beseri.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berangkat menziarahi jenazah di rumahnya.

Turut hadir sama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md. Isa Sabu, anggota-anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco), ahli dewan undangan negeri (Adun) dan ketua-ketua jabatan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Argon serta tiga orang anak, Hakimi, seorang pelukis pelan di Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Zurina, 47, pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dan Zurida, 45, seorang arkitek persendirian selain sepuluh orang cucu dan dua cicit.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang melawat Perlis akhir tahun lalu, menziarahi allahyarham di rumahnya dan menyampaikan sedikit sumbangan. – Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close