Banglo Milik Adinda Sultan Selangor Dipecah Masuk

Dua penjenayah warga Indonesia memecah masuk banglo milik adinda kepada Sultan Selangor di Lorong Duta 1, Jalan Duta di sini, sebelum melarikan sebuah kereta Mercedes-Benz dan beberapa barang berharga, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, penjenayah terbabit dipercayai memecah masuk banglo tiga tingkat itu menerusi tingkap depan sebelum mengikat empat pembantu rumah yang ketika itu sedang tidur.

Ketika kejadian, kerabat Sultan Selangor serta ahli keluarganya tiada di rumah dan difahamkan berada di luar negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, suspek bersenjatakan pisau ketika memecah masuk kediaman tersebut.

“Pembantu rumah berkenaan diugut untuk dicederakan dan tangan dua pembantu rumah lelaki juga diikat. Kesemua mereka dikumpul dan dikurung dalam sebuah bilik.

“Suspek kemudian sempat menggeledah bilik-bilik di banglo mewah itu dan polis ketika ini masih mengesan barang berharga yang hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close