Anggota Polis Maut Digilis Lori Ketika Kejar Sebuah Kereta

Seorang anggota polis yang sedang mengejar sebuah kereta, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum digilis sebuah lori di Permatang Tinggi, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, ketika kejadian pada pukul 8.45 malam itu, Konstabel Nan Ruazlan Zulkefle, 23, yang bertugas di Balai Polis Machang Bubok, mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan semasa sedang meronda bersama rakan setugasnya dengan masing-masing menunggang motosikal.

Gambar Hiasan: Anggota polis yang dirempuh sebuah bas di Johor baru-baru ini

Nan Ruazlan memintas kenderaan berkenaan bagi menahan dan memeriksanya dan ketika menghampiri kenderaan itu, pemandunya, seorang lelaki, memecut kenderaannya lalu bergesel dengan motosikal mangsa,” katanya kepada pemberita selepas melawat jenazah mangsa di Hospital Bukit Mertajam (HBM), malam tadi.

“Akibat kejadian itu, motosikal yang ditunggang mangsa melanggar pembahagi jalan dan beliau (Nan Ruazlan) terpelanting di atas jalan sebelum dilanggar sebuah lori yang lalu di kawasan terbabit,” katanya.

Ayub berkata, mangsa yang berasal daripada Felda Kahang Barat, Kluang, Johor yang cedera parah di bahagian kepala, mati di tempat kejadian. Mayatnya dibawa ke HBM untuk dibedah siasat.

– BERNAMA

Facebook Comments
Close