Ahli PKR Minta Azmin Ali Beri Penjelasan Atau Keluar Dari Parti

Sekumpulan ahli PKR termasuk masih memegang jawatan di peringkat cabang mengugut untuk keluar parti jika timbalan presiden parti itu, Azmin Ali gagal memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai dakwaan pemilikan saham oleh beliau dan isterinya yang dikatakan bernilai jutaan ringgit.

Ketua Penerangan PKR Ampang, Mohd Isa Saidi yang mengetuai kumpulan itu berkata, Azmin tidak boleh lagi berdolak-dalik mengenai isu itu sebaliknya perlu memberikan penjelasan yang meyakinkan semua ahli bahawa beliau tidak bersalah.

“Buat masa ini, kami masih percaya beliau tidak bersalah, tetapi Azmin sendiri perlulah tampil buat penjelasan yang benar-benar memuaskan hati kami sebagai ahli bawahan yang mahu terus menghormatinya sebagai pemimpin kami. Jika dia sendiri tidak dapat jawab dakwaan itu, ia akan menggugat kepercayaan pengundi terhadap parti, termasuk ahli PKR sendiri.

“Ini yang kami tidak mahu kerana isu ini boleh menjejaskan parti terutama dalam keadaan kita nak hadapi pilihan raya,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mohd Isa, jika Azmin masih tidak mahu menjawab isu itu secara telus, adalah lebih baik jika beliau keluar sahaja daripada PKR.

“Jika dia tak mahu keluar, kami sendiri yang akan keluar,” tegasnya pada satu sidang media yang turut disertai sekumpulan pemimpin akar umbi parti itu di sini, semalam.

Mohd Isa berkata, jika sememangnya beliau tidak bersalah, tiada apa perlu ditakutkan Azmin untuk menjelaskan perkara sebenar kepada orang ramai.

“Kalau tidak betul apa dikatakan itu, beliau boleh saman pihak berkenaan. Kami akan sokong jika dia berani bertindak,” katanya.

Timbalan ketua penerangan cabang, HM Tan pula berkata, Azmin perlu bertindak sebagaimana dimahukan ahli parti bagi buktikan kewibawaan dan integritinya sebagai pemimpin.

“Apa yang kita perlu utamakan ialah sokongan rakyat kepada perjuangan PKR. Sebab itu nilai ketelusan perlu ada dalam parti,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Jalur Tiga, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, mendesak Azmin menjelaskan sumber kewangan­nya ketika menjadi pegawai kerajaan pada 1992 hingga 1994 dan bagaimana beliau mampu memiliki saham bernilai jutaan ringgit.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close