Ahli Parlimen Ampang Zuraida Terima Surat Saman Zahida

Pelakon Zahida Mohamed Rafik, 37, yang dituduh menerima wang sebanyak RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah menghantar surat saman kepada Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Surat yang dihantar melalui peguam Datuk Seri Shafee Abdullah bertarikh 23 April 2012 itu antara lain menuntut Zuraida yang juga Ketua Wanita Keadilan berhenti membuat kenyataan media, menarik balik kenyataan terdahulu serta memohon maaf dalam masa tujuh hari.

“Kita tak sebodoh untuk keluarkan kenyataan tanpa bukti dan biar orang saman kita. Kita tunggu dalam masa terdekat.

“Kita akan bawa hal ini ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Di sana akan menyaksikan lebih banyak rahsia terbongkar,” katanya mengesahkan penerimaan surat saman itu seperti dilaporkan portal katanya seperti dilaporkan portal Laman KL-Today

Laporan itu juga menyebut Zuraida tidak gentar dengan saman berkenaan kerana pihaknya mempunyai bukti bagi setiap tuduhan yang dibangkitkan.

Zuraida sebelum ini mendedahkan kepada pihak media di lobi Parlimen dengan mendakwa seorang pemandu pelakon tersebut iaitu Noor Azman Azemi membuat laporan polis bertarikh 13 Mac 2012 mengatakan Zahida telah menerima wang berjumlah RM1.5 juta daripada Mohd Shafie.

Sementara itu kebanyakan akhbar pada Khamis melaporkan Zahida menafikan telah berkahwin dengan Mohd Shafie dan menganggap tuduhan itu adalah fitnah semata-mata.

Dia juga menegaskan bahawa sehingga kini dirinya masih solo dan tidak berkahwin dengan mana-mana lelaki termasuklah dengan menteri berkenaan.

“Sebelum ini, saya pernah terserempak dengan beliau (Mohd Shafie) ketika hadir ke beberapa buah majlis, tetapi saya tidak mengenali beliau secara peribadi. Saya cuma tahu beliau seorang menteri.

“Lagipun desas-desus yang mengatakan saya sudah berumah tangga dengan beliau juga tidak benar kerana sampai sekarang saya masih solo. Saya anggap apa yang berlaku ini cuma gosip yang menjadi lumrah kepada kehidupan seorang artis,” ujarnya seperti laporan Kosmo! pada Khamis.

Pelakon itu ditemui pada majlis pelancaran aksesori Nur Of Alexandria dekat sini Rabu dan ia adalah penampilan pertamanya sejak isu panas itu diperkatakan sepanjang minggu lalu.

Zahida menambah apa yang menyebabkan dia mengambil masa yang lama untuk menjelaskan isu kontroversi tersebut kerana perlu mendapat nasihat peguam.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close