Wanita Maut Ditembusi Penghadang Jalan

Seorang wanita dipercayai warga China maut dalam kemalangan di Km 14.7 Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) arah selatan berhampiran Pajam semalam.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas kereta Proton Saga BLM yang dinaikinya hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.

Menurut jurucakap polis, kereta tersebut dipandu rakan lelaki mangsa yang dkenali sebagai Thai Yin Sei, 25, yang mengalami kecederaan parah di kepala.

“Mereka dikatakan dalam perjalanan dari arah Kajang menghala ke Seremban sebelum kereta mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas serta merempuh penghadang di sebelah kiri lebuh raya.

“Akibat rempuhan kuat, penghadang besi jalan menembusi cermin depan kereta sebelah penumpang hingga ke belakang kereta dan wanita tersebut mati dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hancur ditembusi penghadang besi itu,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Abd Manan Munaji berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat wanita tersebut yang tersepit di tempat duduk.

— BERNAMA

Facebook Comments
Close