Pemandu Lori Maut Bertembung Dengan Lori Balak

Tindakan nekad seorang kelindan terjun dari tingkap pintu lori berjaya menyelamatkan nyawanya sementara pemandu lori berkenaan maut dalam satu kemalangan di Kilometer 104.7 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat simpang Chenor, semalam.

Mokhsin Mat Sobri, 25, berkata, lori yang membawa muatan ayam segar dari Kuantan menuju ke Temerloh itu hilang kawalan ketika melalui jalan yang tidak rata sebelum terbabas dan melanggar bahagian tengah sebuah lori balak tanpa muatan dari arah bertentangan.

Menurutnya, menyedari akan melanggar dengan lori balak berkenaan, dia secara spontan bertindak terjun dari lori tersebut.

“Ketika menuruni bukit di jalan raya yang tidak rata dan rosak ini, lori kami tidak stabil. Pada mulanya hampir terbabas ke kiri jalan sebelum pemandu cuba mengilas kembali ke laluan asal. Ketika ini saya sedar yang kami akan melanggar lori balak berkenaan lalu tanpa berfikir panjang, saya terus terjun ikut tingkap pintu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mokhsin berkata, tergamam dengan kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu, dia tidak menyangka akan kehilangan seorang rakan baik.

Hentaman kuat

Pemandu lori balak terbabit, V Mahendran, 53, berkata, jalan lurus di lokasi kejadian membolehkan dia melihat pergerakan tidak stabil lori membawa muatan ayam segar itu.

Menurutnya, pergerakan terhuyung-hayang itu dipercayai kerana tindakan pemandu mahu mengelak laluan tidak rata.

“Saya mulanya agak lori ini akan terbabas ke bahu jalan dan terkejut apabila ia melanggar bahagian tengah lori yang saya pandu.

“Hentaman kuat menyebabkan lori saya terbalik ke hadapan namun bagi mengelak kecederaan teruk, saya memegang kuat stereng lori. Selama 32 tahun memandu lori balak, ini kali pertama saya terlibat dalam kemalangan ngeri,” katanya.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Rahmat berkata, dia memandu kereta mengekori belakang lori membawa ayam segar itu dengan jarak sebuah lagi kereta di hadapannya.

Menurutnya, ketika menuruni bukit, lori tersebut dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum bergerak ke kiri dan kanan.

“Tiba-tiba saya terkejut melihat lori ini melanggar badan sebuah lori balak dan menyebabkan satu dentuman kuat. Kedua-dua lori seakan tercampak dan terheret ke hadapan secara bertentangan di laluan masing-masing. Saya berhentikan kereta dan dapati pemandu lori membawa muatan ayam tersepit dengan sebelah tangan terputus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, De­puti Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, hentaman kuat menyebabkan pemandu lori membawa muatan ayam segar itu tersepit sebelum dikeluarkan dengan bantuan Bomba dan Penyelamat Maran.

Menurutnya, mangsa yang beralamat di Kuantan, Karim Mohd Baki meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di seluruh badan.

“Mayat mangsa di ba­wa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga,” katanya.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close