Mangkuk Tandas Di Stesen LRT Meletup | Seorang Lelaki Cedera

Seorang lelaki yang sedang menggunakan tandas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai di sini hari ini cedera di bahagian belakang badan apabila mangkuk tandas yang sedang digunakan berkecai akibat satu letupan.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian pada pukul 1.15 petang itu mangsa Muhd Sakereen Basri, 22, yang cedera terkena serpihan mangkuk tandas itu dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

“Mangsa cedera pada bahagian belakang badan dan peha akibat terkena serpihan, dan bahan letupan yang digunakan disyaki mercun…siasatan awal mendapati tiada lagi bahan letupan lain yang digunakan,” katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini sama ada wujud unsur sabotaj atau kecuaian dan kes disiasat mengikut Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Azhar Ghazali ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya bekerjasama dengan polis yang menyiasat kejadian itu dan kejadian itu sama sekali tidak menjejaskan operasi LRT di stesen berkenaan.

“Saya harap orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkara ini. Keadaan adalah selamat dan kita beroperasi seperti biasa,” katanya.

– Bernama

Facebook Comments

Comments are closed.

Close