The Lorax | Box Office Di Amerika Utara

Filem tentang ranjau kehidupan masyarakat industri, Dr. Seuss’ The Lorax menjuarai carta box office Amerika Utara buat minggu kedua berturut-turut dengan kutipan tiket mencecah AS$39.1 (RM118.2 juta) pada hujung minggu lalu, kata firma industri perfileman, Exhibitor Relations kelmarin.

Menampilkan suara Danny DeVito, Zac Efron dan Taylor Swift, filem The Lorax mencatat rekod filem animasi bukan sekuel yang menjana pendapatan tertinggi pada minggu lalu dengan mengatasi filem The Incredibles. The Lorax memperoleh hasil kutipan tiket hampir AS$122 (RM369) juta sejak ia mula ditayangkan.

Tempat kedua menjadi milik pendatang baharu dari studio Disney, John Carter yang diadaptasi daripada buku Tarzan karya Edgar Rice Burroughs.

Filem tentang seorang bekas askar era Perang Saudara AS yang menjadi wira di planet Marikh itu mengutip AS$30.6 (RM92.8 juta).

Filem komedi mengenai parti liar di sebuah sekolah tinggi, Project X, mengekori di tempat ketiga dengan perolehan AS$11.6 juta (RM92.5 juta).

Silent House, sebuah filem seram mengenai seorang wanita muda terperangkap di dalam banglo berhantu berada pada kedudukan keempat dengan kutipan tiket melebihi AS$7 juta (RM21.1 juta).

Di tempat kelima teratas carta box office ialah Act of Valor, filem perang yang dibintangi beberapa anggota komando Navy Seal AS dengan kutipan AS$7 juta (RM21.1 juta). – AFP

Facebook Comments
Close