KTMB Akan Perkenal Komuter Baru

Tampil dengan gerabak yang lebih banyak dan luas itulah yang dapat diperkatakan mengenai komuter baru bagi laluan Port Klang-Sentul dan Seremban-Rawang yang menjadi pengangkutan utama kepada 98,000 penumpang.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkenalkan empat daripada 38 unit komuter baru bernilai RM1.89 bilion.

Sementara selebihnya akan diperkenalkan secara berperingkat-peringkat hingga Jun. Justeru masa menunggu akan dapatkan daripada setengah jam dapat dikurangkan kepada 10 minit apabila semua komuter ini mula beroperasi.

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fadzil Ismail menjangkakan peningkatan kualiti perkhidmatan dengan setiap gerabak dapat menampung kapasiti maksima 1,110 penumpang berbanding 400 orang sebelum ini.

Kereta api tersebut dikeluarkan oleh syarikat Zhuzhou Electric Locomotive di China dan berharga sekitar RM50 juta setiap satu.

Ia dijangka akan dapat mengurangkan secara drastik kesesakan dalam kereta api di sepangjang laluan popular katanya kepada pemberita ketika taklimat kepada media baru-baru ini.

“Ramai penumpang yang mengadu mereka terpaksa menunggu lama untuk tren yang berikutnya disebabkan kesesakan. Kami berharap situasi seperti ini dapat dielakkan pada masa akan datang. Kita juga menerima purata satu hingga tiga aduan bertulis mengenai kesesakan tren pada setiap hari,” katanya.

Kira-kira 70,000 penumpang menggunakan perkhidmatan KTM komuter untuk pergi kerja pada waktu puncak iaitu pagi dan petang. Sementara 28,000 penumpang menggunakan perkhidmatan komuter pada pukul 10 pagi hingga 4.30 petang.

Antara ciri-ciri istimewa yang dilengkapi pada enam gerabak terbaru yang akan diperkenalkan ialah sistem yang mesra penumpang termasuk sistem pemberitahuan berbentuk skrin LCD, palam cas alat elektronik, intercom dua hala antara penumpang dan pemandu pada waktu kecemasan serta koc yang dikhaskan untuk wanita.

“Suara automatik pada sistem pemberitahuan dan skrin LCD ini amat berguna terutamanya kepada golongan kurang upaya bagi memaklumkan kepada mereka sudah tiba di stesen berikutnya,” katanya.

Setiap koc dapat menampung lebih ramai penumpang dengan tiga baris selusur kepada penupang yang berdiri.

Konsep ruangan terbuka yang diperkenalkan ini membolehkan penumpang bertukar dari satu koc ke koc yang lain pada satu-satu masa.

Mohd Fadzil berkata gerabak tersebut dilengkapi dengan sistem keselamatan yang membolehkan pintu dibuka secara manual dan tingkap dipecahkan sekiranya berlaku kecemasan.

“Setiap koc diilengkapi dengan tiga kamera litar tertutup (CCTV). Ini bagi memudahkan pemandu memantau apa yang berlaku. Tangga turut disediakan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya. Beliau berkata KTMB telah merancang untuk mendapatkan gerabak baru sejak tahun 2010 memperbaiki pengangkutan awam di bandar seperti yang digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Mohd Fazil berkata kerajaan memperuntukkan RM2 bilion kepada KTMN bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Baki RM110 juta akan digunakan bagi memperkenalkan sistem tiket menggunakan token yang akan bermula pada bulan Mei.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close