Kes Bapa & Pensyarah Dibunuh Dipercayai Dilakukan Orang Dalam

Kes pembunuhan dua beranak melibatkan seorang pensyarah dan bapanya yang mayat mereka ditemui di rumah mereka di Taman Kinrara, Puchong, di sini malam tadi, berkemungkinan dilakukan oleh ‘orang dalam’.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata berdasarkan siasatan awal yang dilakukan, polis belum menemui kesan kecederaan seperti kesan tikaman dan kesan pergelutan atau mangsa diserang dengan objek tajam.

Abd Razak berkata mangsa Zara Eleena Omar Peter, 23, yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah pusat pengajian swasta di Lembah Klang dan bapanya Omar Peter Abdullah, 56, ditemui mati di bilik berasingan di rumah itu pada 9.50 malam tadi.

Beliau berkata hanya kesan pendarahan dalaman yang dipercayai menyebabkan darah terkeluar daripada mulut pensyarah wanita itu, manakala kesan darah juga ditemui pada bapa wanita itu.

“Kita sudah hantar kedua-dua mayat mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kita masih menunggu laporan forensik untuk mengesahkan sama ada mangsa diracun atau dibunuh dengan cara lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

– Bernama

Facebook Comments
Close