Kereta Misteri Rupanya Kereta Curi

Pertanyaan penduduk dan pekerja ladang kelapa sawit Jengka 3 ­mengenai sebuah kereta Proton Wira di dalam gaung kelmarin ­terungkai apabila siasatan awal polis mendapati kenderaan itu dicuri sebelum terbabit dalam kemalangan di situ.

Polis turut mengesahkan kereta biru tua itu pernah ­dilaporkan dicuri lebih ­setahun lepas di Wangsa Maju, Kuala Lumpur melalui siasatan nombor enjin dan casis.

Penduduk mendakwa, ­kereta tersebut ditemui ­seorang pemandu lori kelapa sawit yang dikenali sebagai Shahrizal kira-kira jam 10 pagi sebelum menghubungi rakannya dan polis.

Saksi terbabit dikatakan memberhentikan lorinya di simpang jalan kerana ternampak kereta yang dalam ­keadaan rosak teruk berkemungkinan terjatuh ke dalam gaung ketika dalam perjalanan dari Maran menuju ke Bandar Jengka.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, kereta tersebut dipercayai ­ditinggalkan pemandunya ­selepas terbabit dalam satu kemalangan.

Bagaimanapun, beliau ­tidak dapat mengesahkan kejadian itu kerana tidak ­menerima sebarang ­maklumat sebelum itu.

Katanya, maklumat awal yang diterima melalui pen­duduk sekitar ialah mengenai sebuah kereta jenis Proton Wira terlibat dalam kemalangan.

“Polis trafik tiba di tempat kejadian sejurus menerima aduan tetapi mendapati kereta itu ditinggalkan pemandunya dan tiada individu di ­dalamnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Melalui siasatan yang ­dilakukan, katanya, polis ­menjumpai serpihan nombor plat ­kereta bahagian belakang ­manakala nombor plat kereta ­bahagian depan dan cukai ­jalan pula ditanggalkan dari kenderaan itu.

“Polis terpaksa ­mencantum serpihan nombor plat ­sebelum mendapati ia nombor itu adalah palsu dan disahkan ­kenderaan curi,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pihak polis Maran menyerahkan kes tersebut kepada Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju untuk siasatan lanjut.

Facebook Comments
Close