Kanak-kanak Tiga Tahun Maut Jatuh dalam Tangki Najis

Seorang kanak-kanak tiga tahun maut selepas terjatuh dalam lubang tangki pembetung najis berhampiran rumahnya di Kuarters Klinik Kesihatan Jabi di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, mangsa, Nur Ammar Adlyn Mohd Husni dikatakan sedang bermain basikal sendirian di tempat kejadian, sebelum terjatuh ke dalam lubang terbabit dan meninggal dunia dipercayai akibat lemas.

Sebelum tragedi malang itu, mangsa yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dan juga anak kepada seorang jururawat di situ, sedang bermain basikal berhampiran ibu dan bapanya yang sedang berbual dengan rakan di depan rumahnya.

Menurut bapa mangsa, Mohd Husni Mat Hussin, 32, anaknya bermain basikal berhampiran dia dan isterinya yang sedang berbual bersama rakan di hadapan rumah, selepas mereka sekeluarga pulang dari menghadiri kenduri kahwin di Kubang Depu, Jertih.

“Kira-kira 10 minit kemudian, isteri saya menyedari Nur Ammar tiada dan bertanya di mana anak saya itu,” kata kakitangan Majlis Daerah Besut (MDB) itu.

Dijumpai dalam keadaan tertiarap

Mohd Husni terlebih dahulu mencari anaknya dalam rumah, namun kelibatnya tidak kelihatan. Sejurus kemudian, dia terdengar jeritan jiran memberitahu anaknya terjatuh dalam lubang najis.

Dia kemudiannya berlari ke belakang kuarters jiran dan dari jauh dapat melihat basikal yang dinaiki Nur Ammar berada­ berhampiran lubang itu, di samping sepasang selipar milik ibunya yang dipakai mangsa.

“Apabila menghampiri lu­bang itu, saya dapati anak saya terapung dalam keadaan tertiarap­ dalam lubang najis itu. Isteri saya terlebih dahulu cuba mencapai badannya, namun tidak berjaya.

“Saya kemudiannya meniarap lalu menarik anak saya ke atas dan terus dibawa ke klinik sebelum dimaklumkan dia telah meninggal dunia,” katanya.

Mohd Husni berkata, kedalaman lubang tersebut dari permukaan jalan dengan permukaan air najis adalah kira-kira 1.5 meter.

Dia sama sekali tidak menyangka kejadian seperti itu boleh berlaku dalam sekelip mata kerana anaknya hilang dari pandangannya hanya seketika.

Menurutnya, lubang tang­ki­ najis itu tertutup dengan kepingan besi, tetapi dipercayai apabila anaknya terpijak di atas permukaan besi itu, menyebabkan besi terbabit terjatuh ke dalam lubang itu bersama mangsa.

Mohd Husni memberitahu, dia difahamkan tangki pembetungan najis itu baru disiapkan dan dia sama sekali tidak menyangka keadaan itu tidak selamat.

Jenazah mangsa kemudian­ dibawa ke Hospital Besut dan doktor mengesahkan punca kematian akibat lemas.

Jenazah kanak-kanak malang itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja jam 2 pagi semalam.

Datuk mimpi lelaki berjubah putih

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi, mengesahkan kejadian­ tersebut.

Katanya, siasatan men­dapati­ tidak ada unsur jenayah berlaku dalam kejadian itu dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa disahkan mati akibat lemas selepas terjatuh ke dalam tangki pembetungan­ najis itu yang dipercayai penutupnya dipasang dengan tidak sempurna,” katanya.

Kamaruddin berkata, mang­sa didapati tertelan air dalam pembetung itu sebelum lemas.

Sementara itu, datuk mangsa, Mat Hussin Awang, 62, paling sedih kerana­ mangsa rapat den­gannya.

Katanya, pada hari ibu bapa cucunya bekerja, kanak-kanak itu bersama dua abang kembarnya, Nor Amarida dan Nor Amarifqi dihantar ke rumahnya di Kampung Limbongan, dekat Kampung Raja.

“Sekiranya berada di sini, dia tidak mahu tidur dengan ibunya, sebaliknya akan tidur dengan saya dan kejadian­ ini amat mengejutkan kerana­ dia sangat rapat dengan saya,” kata Mat Hussin yang tidak menyangka mimpi didatangi lelaki berjubah putih tiga hari sebelum
kejadian memberi alamat kurang baik.

Mohd Husni pula berkata­, anaknya menunjukkan perubahan beberapa hari sebelum kejadian apabila­ dia menyebut panggilan mesra ‘Awang’ yang selalu disebut oleh ayah dan ibunya.

“Kami memang memanggilnya dengan panggilan ‘Awang’ tetapi baru-baru ini dia juga membahasakan dirinya Awang sedangkan sebelum ini tidak sedemikian,” katanya.

Facebook Comments
Close