Jalan Sasaran- Kampung Bukit Kuching Jadi Lokasi Buangan Sampah Haram

Bahu Jalan Sasaran- Kampung Bukit Kuching, di sini yang masih menjadi lokasi pembuangan sampah haram bukan sahaja menimbulkan bau busuk kurang menyenangkan, bahkan keadaan menjijikkan apabila ulat sampah memenuhi jalan.

Penduduk, Lau Chin Mui, 78, berkata, sampah yang dibuang di hadapan rumahnya tidak kira masa menyebabkan hidupnya tidak tenang berikutan bau busuk dan mengundang anjing liar menyelongkar sampah untuk mencari makanan.

“Hari-hari terpaksa hidu bau busuk dan kadang-kadang jiwa tidak tenang memikirkan pemandangan yang tidak selesa dan setiap kali mahu keluar rumah untuk berehat di kawasan siar kaki, hasrat itu terpaksa dibatalkan.

“Bila petang, saya terpaksa berkurung di dalam rumah berikutan tidak tahan dengan bau busuk dengan jumlah sampah yang menimbun berikutan tidak dikutip pihak berwajib.

“Saya pun pelik bagaimana jalan yang menjadi laluan utama penduduk untuk ke empat kampung di sini seolah-olah dipandang remeh pihak berwajib sedangkan ia jelas mencemarkan imej jalan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Bagi V Saktiskumar, 27, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bertindak tegas dalam perkara ini dan menyediakan tong sampah yang besar bagi mengekang pembuangan sampah secara berterusan di tempat tidak sepatutnya.

“Dahulu, ada tong sampah disediakan di kawasan ini, namun selepas itu sudah tiada. Saya pun tidak tahu ke mana tong sampah itu pergi dan papan larangan membuang sampah juga sudah hilang.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera kerana tidak tahan lagi menanggung bau yang busuk setiap kali melalui jalan ini ke pekan Sungai Buloh,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Azahari Sairin berkata, pihaknya sebelum ini sudah pun menempah tong sampah yang besar untuk diletakkan di kawasan yang diadukan bagi menyelesaikan masalah pembuangan sampah haram.

“Namun, sehingga kini tong yang ditempah masih belum sampai dan bagi tindakan drastik, pihak PBT akan meletakkan tong sementara bagi membendung masalah yang dilihat masih berterusan,” katanya.

Facebook Comments
Close