Ibu Rayu Nurul Fatin Pulang

Seorang ibu tunggal di Kampung Pasir Putih di sini merayu anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak lebih sebulan lalu kembali kepada keluarga.

Endon Ahmad, 58, berkata, anaknya, Nurul Fatin Jaslan, 20, dimarahinya kerana dipercayai ponteng kelas Bahasa Inggeris berbayar di Johor Bahru selepas lebih 10 keping tiket wayang ditemui di dalam bilik anaknya.

Menurutnya, Fatin sebelum ini bekerja bahagian pengiklanan di Johor Bahru dan baru lebih kurang tiga bulan bekerja sebagai kerani di kampung berkenaan.

“Mak cik marah sebab dia tipu kononnya ke kelas Bahasa Inggeris setiap hari Ahad, tetapi rupa-rupanya dia tidak masuk kelas, sebaliknya menonton wayang bersama teman lelakinya.

“Mak cik sanggup keluarkan duit lebih RM5,000 untuk kelas Bahasa Inggeris selama enam bulan supaya dia boleh berkomunikasi, tetapi nampak gayanya dia tidak berminat,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Endon berkata, pada 9 Februari ketika anak sulungnya ingin mengambil Fatin di tempat kerja kira-kira jam 11 malam, keadaan kedai berkenaan telah gelap-gelita.

Menurutnya, Fatin gagal ditemui sehingga kini walaupun pelbagai usaha mencari ke merata tempat telah dilakukan termasuk melalui cara tradisional.

“Hari terakhir berjumpa, Fatin kelihatan seperti biasa bersalam dan mencium pipi mak cik sebelum keluar ke tempat kerja.

“Teman lelaki Fatin memberitahu ada menghantar Fatin ke stesen bas Larkin pada malam berkenaan, tetapi naluri hati mak cik tetap merasakan Fatin masih ada di kawasan ini,” katanya.

Endon berkata, anak bongsunya itu seorang yang pendiam dan begitu manja dengannya terutama selepas arwah suaminya meninggal dunia lebih lima tahun lepas.

Menurutnya, kerinduan kepada Fatin begitu ketara terutama pada waktu malam kerana sebelum ini anaknya itu akan menemaninya berbual sebelum tidur.

“Mak cik terlalu rindukan gurauan manja dia yang menjadi peneman setia mak cik di rumah ini kerana abang dan kakaknya bekerja dan menetap di Singapura.

“Baliklah Fatin… mak sendirian dan kesunyian di rumah ini. Mak marah sebab mak sayangkan Fatin… baliklah mak akan masakkan sambal sardin kegemaran Fatin,” katanya dengan linangan air mata.

Endon berharap orang ramai yang terlihat atau mempunyai maklumat berkaitan anaknya supaya menghubunginya di nombor 017-7437882 atau balai polis berhampiran.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close