Gaji Minimum Sepatutnya RM1,500

Gaji minumum RM900 seperti dicadangkan kerajaan sudah tidak relevan lagi memandangkan kos sara hidup di negara ini semakin meningkat, malah gaji minimum yang munasabah sekarang adalah RM1,500.

Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia, Datuk Zainal Rampak berkata, gaji minimum yang munasabah sekarang adalah RM1,500.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), katanya, memohon gaji minimum sebanyak RM1,200 sejak 90-an lagi.

Menurutnya, jumlah itu diturunkan kepada RM900 atas desakan majikan yang mengatakan jumlah itu tinggi, tetapi gaji minimum tetap tidak menjadi kenyataan pada waktu itu.

“Saya selalu tekankan produktiviti pekerja Malaysia adalah tinggi, setanding Jepun dan Korea. Apa lagi peningkatan produktiviti dituntut pihak majikan?

“Pekerja Malaysia terpaksa kerja lebih masa untuk mendapatkan pendapatan lebih, malah ada membuat dua pekerjaan,” katanya.

Katanya, majikan sepatutnya memperuntukkan sebahagian bajet tahunan mereka untuk melatih pekerja dalam bidang masing-masing demi mempertingkatkan kecekapan pengeluaran.

Facebook Comments
Close