Empat Pelajar Dihadap Ke Makhamah Kes bunuh Pensyarah & Bapa

Misteri kematian pensyarah Bahasa Inggeris di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter, 23, dan bapanya di rumah mangsa dua minggu lalu, terungkai apabila empat pelajar kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa yang ditemui empat hari selepas mereka dilaporkan hilang oleh ibu pensyarah tersebut menyebabkan Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, Mohamad Sharafe Matt Noh, 19, Azizi Aizat Ibrahim, 20, dan Muhamad Safwan Muhamad, 20, kini berdepan dengan hukuman.

Tiga daripada mereka iaitu Mohamad Zul Shahril, Mohamad Sharafe dan Azizi Aizat adalah rakan sekolej manakala Muhamad Safwan dari kolej berasingan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa mangsa, Omar Peter Abdullah, 56, yang merupakan pesara sebuah syarikat elektronik, dibunuh terlebih dahulu sebelum diikuti dengan pembunuhan Zara Eleena.

Keempat-empat remaja tersebut didakwa melakukan perbuatan kejam itu terhadap Zara Eleena di No.28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong di sini antara pukul 1.30 pagi dan 2.30 pagi, 9 Mac lalu.

Mereka juga didakwa membunuh Omar Peter di tempat yang sama antara pukul 11.30 malam, 8 Mac dan 1.30 pagi, 9 Mac lepas.

Dakwaan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Keempat-empat remaja lelaki itu mengangguk kepala tanda faham terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang masing-masing berasal dari negeri berlainan.

Mohamad Zul Shahril berasal dari Kuantan, Pahang; Mohamad Sharafe dari, Arau, Perlis; Azizi Aizat dari Muar, Johor; dan Muhamad Safwan dari Seremban, Negeri Sembilan.

Sepanjang prosiding, tiada seorang pun ahli keluarga tertuduh dipercayai hadir di mahkamah.

Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan dan laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aifaa Che Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, kedua-dua beranak tersebut ditemui mati di rumah mereka selepas empat hari dilaporkan hilang.

Zara Eleena ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai biliknya manakala bapanya dalam keadaan tertiarap di atas katil bilik utama.

Bagaimanapun, tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada kedua-dua tubuh badan mangsa dan ia menimbulkan tanda tanya.

Pihak polis pada 16 Mac lalu mengumumkan kes itu selesai dengan penangkapan enam pelajar kolej swasta yang salah seorang daripadanya dipercayai teman lelaki kepada pensyarah tersebut.

Polis berjaya merampas beberapa bahan bukti yang dapat membantu siasatan antaranya barangan kemas bernilai RM100,000, telefon bimbit dan kereta Perodua Kenari milik mangsa yang dijumpai di Kedah.

Siasatan awal mendapati, motif pembunuhan dipercayai berkaitan dengan masalah peribadi.

– Utusan

Facebook Comments

Comments are closed.

Close