Disangka Janin Rupanya Bangkai Anak Kucing

Seorang suri rumah terkejut menemui objek disangka janin, ketika mahu membersihkan kebun di sebelah rumahnya di Taman Saujana Indah, di sini, pagi semalam.

Zainon Muhammad Awi, 52, berkata, ketika mahu membersihkan kebun kira-kira jam 9.30 pagi, dia ternampak lalat menghurung tanah yang tidak mampat seperti baru dikambus.

“Saya tidak berani untuk mengorek tanah tersebut. Saya maklumkan kepada jiran, Redzuan Shah Yusof, 33, kira-kira jam 11 pagi dan dia membantu menggali tanah berkenaan, dan menemui segumpal daging,” katanya.

Menurutnya, dia yang curiga dengan penemuan itu memaklumkan suaminya yang sedang bekerja sebelum menghubungi polis.

Bagaimanapun, seorang penduduk berusia 30-an yang melihat sepasukan polis berkumpul tidak sampai 50 meter dari rumahnya datang memberitahu, objek itu adalah bangkai anak kucing ditanam anaknya, pagi kelmarin.

Seorang pegawai veterinar turut dipanggil untuk mengenal pasti objek yang ditemui itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan ia adalah bangkai anak kucing.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close