Digilis Lori | Dua Sahabat Baik Maut

Dua sahabat baik maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke sebuah bengkel untuk membeli alat ganti teksi di Taman Putra, Ampang, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Saiful Ramli, 24 dan rakannya yang membonceng motosikal, Mohd Syafiq Yahya, 24, dipercayai cuba memotong sebuah lori pasir di jalan itu sebelum bergesel dengan lori berkenan.

Menurut sumber, selepas bergesel, mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Wave tercampak di bahagian kiri jalan dan digilis lori pasir muatan 10 tan itu.

Sementara itu, kakak Saiful yang hanya mahu dikenali sebagai Liza, 27, berkata, adiknya mengenali rakannya itu selepas kedua-duanya menyewa beli sebuah teksi dan bekerja secara bergilir-gilir menggunakan teksi berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

“Adik saya memandu teksi itu pada waktu siang manakala Mohd Syafiq memandu pada waktu malam sekali gus menjadikan hubungan mereka akrab,” katanya.

Menurutnya, teksi itu mengalami kerosakan sejak beberapa hari lalu dan mereka bercadang untuk membeli alat ganti hari ini.

Katanya, adik bongsunya yang sudah berumah tangga itu bakal menimang cahaya mata ketiga pada Mei ini.

“Adik saya mempunyai dua anak berusia lima tahun dan lapan bulan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jama­luddin mengesahkan kejadian itu dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil memberi maklumat.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu lori yang berusia 49 tahun dari Semenyih itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Facebook Comments
Close