Beberapa Tempat Di Kedah Dinaiki Air | Banjir Kedah 8 Mac 2012

Sebanyak tujuh buah kampung yang melibatkan 150 buah rumah di kawasan Changlun dinaiki air berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Kampung berkenaan ialah kampung Paya Nongmi, Belakang Pasar Changlun, Padang Pasir, Masjid, Paya Lantau, Titi Kerbau, Kubang Hamid, Taman Sayang, Pasar Changlun serta sekitar pekan Changlun lama, yang dinaiki air hampir satu meter.

Gambar hiasan

Gambar hiasan

Zakaria Ahmad, 77, dari Kampung Paya Nongmi berkata rumahnya mula dinaiki air sejak 7 pagi tadi.

“Saya sudah mula kemas barang sejak semalam. Selalunya kalau hujan lebat macam ini, air akan naik,” katanya.

Zakaria berkata sejak banjir besar melanda Kedah pada hujung tahun 2010, kawasan kampungnya tidak pernah dinaiki air sehingga sekarang.

Rokiah Hashim, 64, juga berkata dia sudah mengemaskan barang-barang di dalam rumahnya sejak hujan turun mulai petang semalam.

Pengerusi Bencana Alam Daerah Kubang Pasu, Ahmad Fisol Md Nor berkata buat sementara waktu pihaknya belum membuka pusat pemindahan.

“Kita akan memantau dan bersiap sedia dari semasa ke semasa dan jika ia hujan berlarutan, barulah kita buka pusat pemindahan,” katanya.

Di Padang Terap, sebanyak 19 rumah di Kampung Perik, Kuala Nerang turut dinaiki air berpunca daripada limpahan air sungai.

Tiga keluarga telah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai selepas rumah mereka dimasuki air melebihi paras pinggang selepas hujan turun bermula 6.30 petang hingga 8.30 malam tadi.

Mohd Risham Abdul Rahman, 28, berkata hujan lebat turun sejak tiga hari lalu dan semalam adalah yang terburuk.

“Pada pukul 8.30 malam tadi, hujan mula berhenti dan air mula naik dalam masa 15 minit sudah memenuhi kawasan rumah,” katanya.

Anggota Dewan Undangan Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid melawat dan menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Padang Terap berkata pasukan bertindak seramai 20 orang telah dikerah untuk membantu mangsa banjir. -Bernama

Facebook Comments
Close