Bangunan Mahaad Tahfiz Tok Faqeh Terbakar

Seramai 16 pelajar Mahaad Tahfiz Tok Faqeh, hilang tempat tinggal selepas bangunan sekolah berkenaan, yang terletak di belakang Masjid Mukim Kampung Kota, di sini musnah.

Kejadian jam 5.45 petang itu memusnahkan tingkat atas bangunan sekolah berkenaan yang melibatkan dua bilik asrama pelajar serta ruang pentadbiran pejabat.

Seorang pelajar sekolah berkenaan, Wan Mohd. Aidil Rafie Wan Zee, 14, berkata kejadian tersebut disedarinya selepas terhidu bau hangit semasa dia sedang menikmati minum petang.

Wan Mohd Aidil berkata, sebaik sahaja terhidu bau tersebut, dia terus berlari keluar dari bangunan terbabit bersama beberapa rakan dan melihat api semakin marak.

”Kami cuba berteriak sekuat yang mungkin bagi meminta bantuan daripada orang ramai dan menyelamatkan diri.

“Mujurlah ketika kejadian kesemua rakan-rakan cepat bertindak sebelum api terus merebak membakar bangunan asrama,” katanya.

Pegetuanya, Mustafa Ismail memberitahu, ketika kejadian dia berada di majlis kenduri yang terletak tidak jauh dari sekolahnya.

”Saya dapat tahu mengenai kebakaran ini selepas dihubungi seorang penduduk yang memberitahu sekolah terbakar.

”Alhamdulillah, walaupun dua bilik asrama pelajar terbabit musnah, namun saya bersyukur kerana kesemua 16 pelajar yang menuntut di sini terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mustafa berkata, kesemua pelajar terbabit akan ditempatkan di masjid buat sementara waktu sebelum mendapatkan tempat tinggal yang sesuai bagi mereka.

Beliau berkata, sekolah agama terbabit dibina hasil sumbangan orang ramai yang mula beroperasi sejak tiga tahun lalu di bawah kelolaan Masjid Mukim Kampung Kota.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Azmi Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.05 petang.

”Seramai 12 anggota dari Balai Darul Naim dan Kota Bharu bersama dua jentera dihantar ke tempat kejadian.

“Ketika kami sampai, hampir 90 peratus bangunan terbabit sudah terbakar dan kerugian dianggarkan berjumlah RM250,000.

Facebook Comments
Close