Abang Nekad Terjun Selamat Adik Dari Lemas

Seorang remaja nyaris maut selepas dihanyutkan ombak ketika mandi-manda bersama beberapa sekumpulan rakan yang lain, dekat sini, petang kelmarin.

Namun, tindakan nekad abangnya yang terjun ke laut meredah ombak besar, berjaya menyelamatkan adik lelakinya daripada menjadi mangsa lemas di pantai yang terkenal dengan destinasi penyu mendarat itu.

Kejadian yang nyaris meragut nyawa dua beradik itu berlaku ketika mangsa, Mohd Rahmad Md Rashid,17, mandi-manda bersama tiga lagi rakannya yang lain, di pantai peranginan dekat sini kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Rahmad dikatakan secara tiba-tiba diseret arus ombak ke tengah laut, kejadian mula disedari adik lelakinya, Mohd Rahimi,15 yang berada di tepi laut sebelum bergegas naik ke darat untuk menghubungi seorang lagi abangnya, Mohd Rizki tentang kejadian menimpa mangsa.

Sebaik sampai di tempat kejadian, Rizki terus terjun ke laut lalu berenang sejauh kira-kira 300 meter untuk mendapatkan mangsa yang sempat berpaut pada pelampung nelayan hanyut.

Rizki dikatakan terapung hampir 30 minit di permukaan laut sebelum berjaya mengheret tangan adiknya lalu berenang ke daratan.

“Ketika berenang saya beberapa kali memanggil namanya dan meminta dia bertenang serta mengucap kalimah ALLAH SWT kerana saya akan berusaha menyelamatkannya,” kata Rizki.

Mohd Rahmad pula menyifatkan pengorbanan abangnya yang sanggup bergadai nyawa, ketika menyelamatkannya yang hampir menemui ajal dihanyutkan arus ombak di pantai tersebut, merupakan detik hitam yang tidak akan dilupakan dalam hidupnya.

“Saya akan kenang jasa abang sampai akhir hayat,

“Kalau saya tidak sempat mencapai pelampung itu, mungkin nasib saya menjadi sebaliknya,” kata Rahmad.

Mangsa yang difahamkan banyak tertelan air laut selain keletihan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun oleh orang awam sebelum dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

– Sinar Harian

Facebook Comments

Comments are closed.

Close