Wanita Dakwa Anaknya Dilarikan

Seorang wanita warga Singapura, Wanchak Ibrahim mendakwa dia dianiaya oleh seorang wanita setelah bayinya yang diserahkan untuk jagaan tidak dipulangkan sejak Mac lalu.

Wanita berusia 43 tahun itu mendakwa, dia menyerahkan bayinya, Muhammad Ashraf Abdullah ketika itu berusia 11 bulan kepada seorang wanita dikenali sebagai Zainon yang menetap di Kampung Sentosa, Cahaya Baru, Pasir Gudang sejak 20 Mac lalu.

Menurut Wanchak, bayi itu terpaksa diserahkan kepada Zainon untuk dijaga kerana dia terpaksa berulang-alik bekerja sebagai pegawai pemasaran di Singapura.

“Sewaktu menyerahkan anak saya, saya berjanji untuk membayar RM10 sehari sebagai upah dan ia dipersetujui oleh Zainon. Ketika itu, saya menetap di Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang dan selalu berulang-alik ke Singapura untuk bekerja,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Pusat Aduan Rakyat Taman Mawar, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, tambah beliau, selang beberapa hari kemudian, Wanchak menghubungi Zainon untuk melepaskan rindu dengan mendengar suara anaknya tetapi diberi pelbagai alasan menyebabkan dia yang berasa tidak sedap hati, bertindak datang ke rumah wanita itu keesokan hari.

Bagaimanapun, sebaik sahaja tiba di rumah Zainon, Wanchak mendakwa dia dihalau oleh wanita itu dan keluarganya.

“Saya berkeras untuk masuk ke dalam rumah Zainon tapi wanita itu mengugut untuk membuat laporan polis selain memberitahu anak saya telah diserahkan kepada keluarga lain.

“Sudah bermacam-macam usaha dilakukan termasuk membuat tiga laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam dekat sini tetapi semuanya menemui jalan buntu,” jelas beliau yang mengenali Zainon menerusi seorang rakannya.

Wanchak mendakwa, Zainon sering memberikan alasan sekiranya beliau mahu mengambil semula anaknya itu.

Pada sidang akhbar tersebut, Zainon melalui perbualan telefon menggunakan pembesar suara mengaku telah menyerahkan Muhammad Ashraf kepada sepasang suami isteri yang didakwa saudara rapatnya dan menuntut sejumlah bayaran lebih RM2,000 daripada Wanchak sekiranya ingin anaknya dipulangkan.

Zainon turut mendakwa, bayi tersebut telah diserahkan selama sembilan bulan, pelbagai kos rawatan hospital telah ditanggung termasuk kos-kos lain seperti lampin pakai buang serta keperluan lain.

Wanita itu dalam perbualan telefon turut mengaku pernah dipanggil polis sebanyak dua kali berhubung laporan yang dibuat oleh ibu bayi berkenaan.

Selain itu, Zainon juga mengaku mempunyai lima anak angkat dan dalam proses mengambil empat lagi anak angkat.

Facebook Comments

Comments are closed.

Close